Sabtu, 3 Oktober 2015

CABARAN DAN IMPLIKASI


CABARAN 

Pelbagai usaha dirancang dan dilancarkan demi untuk meneruskan usaha memupuk keharmonian kaum di negara ini. Pelbagai cabaran dihadapi dalam mengekalkan dan memupuk perpaduan etnik. Antara cabaran yang dihadapi adalah :


Cabaran dari aspek ekonomi

 Kepentingan etnik dari sudut ekonomi adalah melalui penguasaan ekonomi dan perbezaan pekerjaan. Etnik Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Etnik Cina menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan, perdagagan dan menggunakan teknologi moden. Etnik India terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Wujud jurang pendapatan ketara di kalangan etnik. Masing-masing cuba bersaing mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar. Penguasaan ekonomi yang berbeza dan jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati semua golongan etnik. Justeru itu, cabaran ini perlu diambil kira dalam menjaga perpaduan di kalangan etnik. Perpaduan di kalangan etnik tidak boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada permodenan dan pertumbuhan ekonomi.




Cabaran Dari Aspek Politik.
 Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik tidak akan mampu menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Semua etnik saling berusaha untuk mengekalkan identiti masing-masing sehingga boleh membawa kepada hilangnya semangat memupuk semangat taat setia kepada negara.

Cabaran Dari Aspek Nilai-nilai Etnik
  Setiap etnik di Malaysia mempunyai perbezaan dari segi agama, bahasa, dan kebudayaan. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan berbeza. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap etnik fanatik dengan bahasa dan kebudayaan masing-masing. Kesannya, setiap etnik lebih mengutamakan anggota sendiri daripada etnik yang berbeza dalam memilih sahabat dan mendapatkan perkerjaan. Kesukaran untuk hidup dalam satu kelompok yang sama akan menimbulkan kekecohan di kawasan tersebut. Ini kerana masyarakat pelbagai etnik mempunyai masalah dalam berkomunikasi dengan etnik-etnik lain memandangkan mereka terbiasa hidup dengan masyarakat dalam etnik yang sama.

Cabaran Dari Segi Globalisasi
  Semua etnik perlu berani menyahut cabaran globalisasi agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dalam bidang teknologi dan perkembangan komunikasi. Aspek cabaran globalisasi perlu diambil kira dalam memupuk semangat perpaduan etnik di Malaysia. Setiap perancangan dan pelaksanaan program perpaduan perlu mengambil kira cabaran globalisasi agar jurang di antara etnik dapat dieratkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan